Aku gunakan perkataan "geek" kat sini utk merujuk pada orang yang mahir dalam selok-belok computer. Boleh la jugak sebut sebagai "computer nerds", tapi aku lebih suka guna istilah "geek", sebab lebih cool :P
Dan apa yang aku nak cakap ni ialah dari pengalaman dan pemerhatian sebagai seorang yang menjadikan komputer sebagai sebahagian dari cara hidup, malahan sebagai mata pencarian.
Dunia IT, yang uniknya, ia memberikan ruang yang sangat luas utk mengembangkan diri. Sangat mudah untuk mendapatkan ilmu, tanpa kekangan geografi dan dalam kebanyakan masa tanpa kekangan kewangan.
Tidak dinafikan, seseorang boleh begitu cepat menjadi pandai dengan ketekunan mencari, membaca, dan mendedahkan diri pada Internet.
Ilmu, khususnya ilmu IT, adalah amat penting bagi seorang geek sebab ia membantunya utk "build up his ego".
Banyak perkara yang dilakukan dalam dunia geek seperti menulis blog, menyumbang pada open source projects, menjawab soalan di dalam forum, menyertai usergroup, adalah didorong oleh "ego". Tak dapat duit buat benda-benda ni, tapi "bragging rights" dan "recognition among peers" adalah pulangan yang lumayan. Ego adalah "currency" seorang geek.
"Ego" kat sini aku maksudkan sebagai sifat "self importance". Satu perasaan bahawa diri kita adalah "somebody". Kita adalah orang yang penting.
Tidak salah mempunyai ego. Malahan, memang semua manusia punya ego. Yang masalahnya ialah ego yang berlebihan. Dalam Islam, ia dipanggil "ujub".
Ujub adalah bangga diri, merasa kagum pada diri sendiri, merasa diri sangat bagus. Ia sifat tercela dan menjadi permulaan pada sifat-sifat mazmumah lain seperti riak dan takbur.
Dunia IT, secara amnya dipelopori oleh orang-orang Barat. Budaya dunia IT sangat banyak terkesan dengan nilai-nilai moral dari Barat. Secara tidak sedar, sebahagiannya adalah memudaratkan.
Pertama kali aku membaca The Hacker's Manifesto beberapa tahun dulu, aku rasa sangat excited. Aku dapat relate diri aku sendiri pada tulisan manifesto tersebut. Ia menjadikan aku yakin diri, dan menjadikan aku seorang yang bangga. Malah terlebih bangga mungkin.
Tulisan dari Paul Graham, banyak mengagungkan nerds dan geeks. Walaupun secara fizikalnya nerds and geeks ini tadi nampak lekeh, tapi sebenarnya mereka ini hebat. Banyak tulisannya berkisar begitu.
Memang ada bagusnya sebab ia membina keyakinan seorang geek (yang secara stereotype-nya selalu disebut kurang keyakinan diri :), tapi kalau tidak ditapis dengan akhlak Islamiah, boleh menjadi sesuatu yang buruk.
Ilmu inilah harta seorang geek. Lebih banyak ilmu, lebih kita rasa diri kita ini hebat. Tapi ilmu duniawi, seperti harta-harta dunia yang lain, boleh menjadikan pemiliknya bongkak.
Kadang-kadang kita terlalu ingin nak "prove ourself" dan "to be recognized" serta terlalu nak tunjuk kita lebih baik sampai kita melakukan benda-benda yang kurang elok.
"Lebih" itu adalah relative, iaitu perbandingan yang disandarkan pada sesuatu yang lain. Untuk menampakkan kita lebih bagus dari orang lain, kadang-kadang kita mengambil jalan pintas dengan melakukan sesuatu supaya orang lain pula yang nampak kurang bagus.
In the end, kita ini masih juga hidup dikalangan manusia. Tiada siapa yang suka diperlekehkan, tiada siapa suka berkawan dengan orang berasa dia sentiasa lebih betul bagus, tidak siapa suka ditegur dgn tona suara yang menghina.
Hidup dikalangan manusia, untuk sejahtera, kita jangan lupa menjaga akhlak.
Ingatlah macam mana iblis yang pada mulanya dulu lebih mulia dari malaikat, tapi Allah menjatuhkan martabatnya menjadi makhluk yang dihina kerana takbur dan sombong dan merasakan dirinya sangat mulia.
"Dan (ingatlah) ketika kami berfirman kepada malaikat: Tunduklah (beri hormat) kepada Nabi Adam. Lalu mereka sekaliannya tunduk memberi hormat melainkan Iblis; dia enggan dan takbur dan menjadilah dia dari golongan yang kafir." [Al-Baqarah 2:34]
Agaknya bila kita menulis, bila kita memberitahu sesuatu, bila kita mengajar kepada orang lain, adakah ia kerana kita ikhlas, ataupun kerana kita ingin orang tahu kita ini adalah orang hebat?
Adakah ilmu itu akan jadi jariah yang berterusan yang membantu kita walaupun kita sudah mati nanti, ataupun ia akan membawa kita pada kebinasaan? Sabda RasuluLlah:
"Ada tiga perkara yang menyebabkan binasa: Terlalu bakhil, menuruti hawa nafsu, dan ujub pada diri sendiri"
Na'uzubiLlah. Aku pun pernah bersalah, moga Allah mengampunkan dosa-dosa aku dan menghindarkan aku dari sifat-sifat mazmumah.